Kementerian Pelajaran sedang dalam usaha menambah
baik perlaksanaan Sistem Pengurusan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(SPPBS) bagi memudahkan penggunaannya oleh kira-kira 412,000 guru
sekolah rendah dan menengah seluruh negara.
Ketika ini, kementerian dalam tindakan menyediakan hosting baharu
bagi memudahkan guru mengakses ke dalam sistem yang sebelum ini
menimbulkan rungutan dalam kalangan guru yang terpaksa memperuntukkan
masa agak lama untuk mengakses sistem tersebut.
Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian, tindakan yang diambil
Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian adalah dengan memindahkan SPPBS
ke hosting baharu dalam usaha mengatasi tersebut pada masa ini.
Tindakan itu adalah bagi menampung bilangan pengguna yang mengakses
secara serentak sehingga 40,000 orang pada satu-satu masa untuk
mengakses sistem berkenaan.
''Pihak kementerian juga telah menggandakan bilangan server daripada 4
kepada 20 buah server mulai November lalu bagi mengurangkan kesesakan
pengguna yang ramai'', kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan tersebut sebagai reaksi kepada Ruangan SMS Utusan Malaysia
baru-baru ini mengenai rungutan 'Guru Kini' yang mendakwa PBS menambah
bebanan guru kerana sukar memasuki laman web sistem tersebut walaupun
pada waktu awal pagi.
Menurut kenyataan itu lagi, kementerian amat prihatin dengan
kesukaran dan masalah yang terpaksa dihadapi guru berhubung perlaksanaan
sistem baharu itu namun yakin masalah yang timbul akan dapat diatasi
dalam tempoh terdekat ini.
Kira-kira 5,272,478 pelajar terdiri daripada 2,804,405 murid sekolah
rendah dan 2,281,775 pelajar sekolah menengah terlibat dalam
perlaksanaan sistem PBS membabitkan 7,723 sekolah rendah dan 2,296
sekolah menengah.
Melalui sistem baharu ini, guru tidak lagi perlu meramal bentuk
soalan dan topik yang akan diuji dan pada masa yang sama, tidak perlu
melaksanakan latih tubi terhadap topik tertentu.
Sebaliknya, pelajar akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan
mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan malah
format pentaksiran baharu itu membolehkan murid dinilai berdasarkan
hasil lebih luas dalam jangka masa yang lebih panjang.
Ia bertujuan untuk menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar
dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian
terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan sejajar
usaha kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan
memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.
Ia merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang mampu menilai
aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor
(jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Secara spesifik, PBS dioptimumkan bagi mentaksir bidang akademik dan
bukan akademik, memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk
melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa
proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang
dijalankan di akhir satu unit pembelajaran) berasaskan sekolah.
Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi
Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti
Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan Pentaksiran Psikometrik.
PS dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh
guru sekolah di sekolah iaitu contoh instrumen pentaksiran yang boleh
digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak,
laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.
Bagi PP pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat
sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang
dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan
mengikut mata pelajaran.
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK)
dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan
melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti
jasmani dan kesihatan.
Selain itu, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti
ekstrakurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan marhaban
yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan aktiviti
bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).
Pentaksiran Pkisometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah atau
pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability and acquired ability)
semulajadi murid, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah,
minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak
berasaskan kurikulum.